Tepat pukul 8.00 pagi 22 Mac 2009 bertempat di perkarangan Masjid USM kami pelajar-pelajar HMT 329 berkumpul untuk pergi ke Plaza Gurney. Kami semua pelajar-pelajar HMT 329 di bawah seliaan Dr Radiah dan juga Cik Helana. Selepas semua pelajar cukup bilangannya kami pun bertolak untuk ke Gurney. Dalam perjalanan ke Gurney, kami singgah di Fort Cornwallis atau dikenali dengan nama Padang Kota Lama. Kedatangan kami ke sana bukan hanya untuk suka-suka sebaliknya kami diberi tugasan iaitu perlu melihat kesalahan bahasa yang digunakan, penggunaan dwibahasa dan penggunaan kata panggilan. Setiap antara kami telah diberikan kumpulan oleh Dr Radiah. Kumpulan yang diwakili kami terdiri daripada 3 orang iaitu Mohd Hazrul Bin Abu Bakar, Siti Nur Suhana Binti Jamil dan Siew Fong.
Terdapat beberapa kesalahan bahasa yang telah kumpulan kami perhatikan semasa pemantauan kami di sepanjang kawasan Fort Cornwallis. Kesalahan yang dimaksudkan termasuk lah penggunaan diksi yang tidak tepat, kesalahan ejaan dan kesalahan tatabahasa yang ditonjolkan khususnya melalui papan tanda dan poster.
PENGUNAAN TATABAHASA
Kesalahan yang telah kami kesan ialah kesalahan penggunaan imbuhan kata kerja. Sebagai contoh, kesalahan penggunaan imbuhan kata kerja telah disalah gunakan iaitu penggunaan di- sebagai imbuhan awalan dieja secara terpisah dengan kata dasar yang menerima imbuhan di- ini. Hal ini boleh dilihat dalam gambar-gambar di bawah :
Bedasarkan gambar di atas, dapat kita lihat kata dasar bagi golongan kata kerja seperti “larang” dan “beri” mestilah dieja rapat selepas menerima imbuhan awalan kata kerja di-. Namun sebaliknya bagi papan tanda dalam gambar tersebut, imbuhan awalan di- telah dieja secara terpisah dengan kata kerja tersebut. Sekiranya diperhatikan perkataan tersebut telah menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu. Sepatutnya dalam hukum tatabahasa bahasa Melayu bagi perkataan dalam gambar tersebut mesti dieja rapat iaitu “dilarang” dan “diberi”. Hal ini dapat diperhatikan dalam contoh di bawah:
Manakala di- yang hadir sebagai kata sendi nama yang berfungsi untuk menunjukkan tempat hendaklah dieja secara terpisah dengan kata dasar menurut hukum tatabahasa bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, bedasarkan pemerhatian kami, terdapat di- yang berfungsi sebagai kata sendi nama ini dieja secara rapat. Hal ini dapat dilihat dalam gambar di bawah:
Bedasarkan gambar di atas, boleh dilihat ejaan yang menyalahi hukum tatabahasa bahasa Melayu iaitu kata sendi nama di- dieja rapat dengan kata dasar seperti “disebelah” dan “dikalangan”. Menurut hukum tatabahasa bahasa Melayu kata-kata ini sepatutnya dieja secara terpisah iaitu “di sebelah” dan “di kalangan”.
PEMILIHAN DIKSI YANG TIDAK TEPAT
Selain itu, berdasarkan pemerhatian kami juga kami telah dapat lihat penyalahgunaan pemilihan diksi. Hal ini demikian kerana terdapat perkataan yang sudah tidak lagi dieja sedemikian pada masa kini. Perkataan tersebut telah mengalami evolusi dari segi ejaannya dan telah diseragamkan ejaannya. Sebagai contoh, perkataan “basikal” sudah tidak lagi dieja “baisikel” kerana ejaan tersebut merupakan ejaan lama dalam bahasa Melayu. Perkara ini dapat diperhatikan dalam gambar di bawah:
Antaranya lagi adalah penyalahgunaan diksi bagi perkataan “di kalangan” yang sebenarnya adalah “dalam kalangan” yang lebih tepat penggunaannya. Hal ini demikian kerana preposisi “di” digunakan bagi menunjukkan tempat manakala preposisi “dalam” menunjukkan konsep ruang. Oleh itu, kata dasar “kalangan” perlu bersertakan preposisi “dalam” untuk menunjukkan konsep ruang. Penyalahgunaan diksi ini dapat diperhatikan dalam gambar di bawah:
Seterusnya, wujud juga kesalahan hukum DM iaitu unsur yang diterangkan mestilah mendahului unsur yang menerang. Kesalahan hukum DM yang dapat dikenal pasti adalah dalam perkataan “pusat komtar” yang telah melanggari hukum DM dengan dieja “komtar pusat” dalam papan tanda di bawah:
PENGGUNAAN DWIBAHASA
Berdasarkan pemantauan kami, terdapat beberapa papan tanda dan poster telah menggunakan dwibahasa dalam penulisan papan tanda. Penggunaan dwibahasa yang sering digunakan adalah terdiri daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Penggunaan dwibahasa dalam penulisan ini amat bersesuaian dengan imej Pulau Pinang iaitu negara pelancongan. Hal ini demikian kerana, Pulau Pinang menjadi tumpuan pelancong asing dari luar negara. Jadi amat bersesuaian penggunaan bahasa Inggeris dalam penulisan papan tanda supaya pelancong asing akan lebih memahami papan tanda tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan dalam gambar-gambar di bawah:
KESIMPULAN
Kesimpulannya, perjalanan kami semua ke Gurney telah memberi banyak makna kepada kami. Kami begitu gembira dan puas dengan menjalankan lawatan tersebut. Segala permerhatian kami dimanfaatkan sepenuhnya dalam tugasan yang diberikan. Di samping itu kami sekumpulan juga memperoleh pelbagai input dan pengalaman baru bagi diri kami. Kami berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
AHLI KUMPULAN:
MOHD HAZRUL BIN ABU BAKAR 11
SITI NUR SUHANA BINTI JAMIL 25
SIEW FONG
harap maaf, tidak dapat memuatnaik gambar-gambar kerana masalah teknikal. Akan dikemaskinikan semula.
having problem with new blog this morn
14 years ago
No comments:
Post a Comment